[salam
"MENGUMPAT ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan
seseorang kepada orang lain. Perbuatan itu mungkin menyebabkan kesusahan,
kerugian, perasaan malu dan mendapat nama buruk akibat cerita itu.
Rasulullah saw menjelaskan mengenai mengumpat seperti sabda bermaksud:
"Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan
sesuatu perkara yang dibencinya." (Hadis riwayat Muslim)
Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu terma...
[salam
"MENGUMPAT ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan
seseorang kepada orang lain. Perbuatan itu mungkin menyebabkan kesusahan,
kerugian, perasaan malu dan mendapat nama buruk akibat cerita itu.
Rasulullah saw menjelaskan mengenai mengumpat seperti sabda bermaksud:
"Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan
sesuatu perkara yang dibencinya." (Hadis riwayat Muslim)
Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui ia difahami oleh orang mendengarnya.
Mengumpat banyak mendatangkan keburukan. Oleh itu, Islam melarang umatnya mengumpat.
Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti
memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan
daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.
Firman Allah bermaksud: "Dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengah
daripada kamu. Adakah seorang daripada kamu suka makan daging bangkai
saudaranya, tentunya kamu semua membenci memakannya..." (Surah al-Hujurat, ayat 12).
Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat.
Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang diumpatkan. Selagi orang
yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan
menerima pembalasannya pada akhirat.
Sabda Rasulullah saw bermaksud: "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat
itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina
apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan, sesungguhnya orang
melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang
diumpat." (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad).
Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan
lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua.
Tidak ramai melakukan zina kerana dosanya amat besar tetapi ramai tidak
sedar setiap hari melakukan dosa lebih besar daripada zina.
Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya
diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain.
Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada
dirinya.
Sabda Rasulullah bermaksud: "Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi
belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan
janganlah kamu mengintip-intip keaibannya.
Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan
mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada
dalam rumahnya sendiri." (Hadis riwayat Abu Daud).
Maksud hadis itu dengan jelas membuktikan orang mengumpat dikategorikan sebagai belum beriman dengan hatinya biarpun lidahnya mengaku beriman.
Orang mengumpat bakal dimalukan biarpun dia berada di rumahnya sendiri.
Kesan buruk mengumpat boleh menyebabkan perbalahan dan perasaan tidak senang dalam masyarakat.
Perasaan iri hati, marah, benci dan dendam mudah merebak daripada
perbuatan mengumpat. Ia mungkin boleh merebak sehingga mencetuskan huru- hara dan pembunuhan.
Mengumpat juga boleh berlaku ketika bergurau dan melawak apabila
menggunakan perkataan atau perbuatan melambangkan keburukan seseorang.
Rasulullah saw pernah menegur Siti Aishah kerana berkata 'alangkahpendeknya
perempuan itu' kepada seorang perempuan tua yang datang berjumpa dengan Rasulullah saw.
Kata-kata itu turut dianggap mengumpat kerana menyebut kelemahan sifat orang
lain dengan memperkecil-kecilkannya.
Ini bermakna kita tidak boleh memanggil seseorang dengan panggilan
menunjukkan kekurangan fizikal seperti botak atau buncit.
Tetapi masyarakat kita sering menggunakan lambang fizikal seseorang
sebagai panggilan untuk melawak. Ada juga menyebut perkataan itu dengan tujuan
panggilan 'mesra'.
Kita boleh memanggil seseorang dengan gelaran itu jika orang itu bersetuju atau tidak marah.
Orang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.
Sabda Rasulullah saw bermaksud: "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering." Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering
sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.
Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar
apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukan olehnya
di dunia.
Maka, dia berkata kepada Allah: "Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya
kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya."
Maka Allah menjawab: "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat
engkau tanpa engkau ketahui."
Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk
diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.
Walaupun perbuatan menceritakan keburukan seseorang kepada orang lain
amat dilarang dan berdosa besar, ada masanya kita diharuskan berbuat
demikian.
Perbuatan itu hendaklah bertujuan kebaikan dan bukan saja-saja suka
menceritakan keburukan orang.
Antara contoh keadaan yang dibenarkan ialah menceritakan sifat seseorang
yang suka menipu. Kita menceritakan sifatnya itu bertujuan supaya orang
lain berhati-hati dan tidak akan mudah ditipu olehnya.
Tetapi janganlah ditambah cerita mengenai sifat lain pula. Contohnya, selain cerita sikapnya suka menipu, diceritakan juga sifatnya suka minum arak. Ini kerana di antara kedua-dua sifat itu tidak mempunyai hubungan dan bukan
untuk tujuan asal agar tidak tertipu.
Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha
mengelakkan diri daripada melakukannya.
Jauhkan diri daripada berada dalam suasana yang boleh menyebabkan berlakunya mengumpat.
Oleh itu, perbanyakkan zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat"
Hai insan yang alpa Kehinaan bagi mu Kebangaan bagi ku
Ghibah yang diperbolehkan
Hukum ghibah adalah haram. Ini adalah hukum asal. Atas alasan-alasan syarak ia diperbolehkan. Apakah alasan syarak itu. Iaitu mahu mencapai satu-satu tujuan yang benar menurut pertimbangan syarak, di mana jika tidak melalui cara itu tujuan itu tak mungkin akan tercapai. Walaubagaimanapun, jika ada cara lain seboleh-bolehnya gunakan cara berkenaan. Elakkan ghibah.
Dalam masalah yang di hadapi, jika ingin:
Membela diri. Adalah dibenarkan jika:
a) atas tujuan yang dibenarkan oleh syarak
b) Jika tiada jalan lain melainkan dengan membuka aib orang lain.
Contohnya, saudara telah dituduh mencuri, sedangkan saudara tahu siapa yang mencuri. Saudara terpaksa mempertahankan diri dengan berkata benar. Ini biasa berlaku di mahkamah. Mahkamah terpaksa membuka aib mereka yang terbabit untuk tujuan yang dibenarkan oleh syarak, iaitu membuktikan benar atau salahnya orang yang dituduh (mencari penjenayah).
Di bawah ini saya senaraikan enam tempat yang dibenarkan ghibah. Saudara boleh timbangkan dengan masalah yang saudara hadapi:
Pertama: Mahu mengadu kepada qadhi, polis, imam, ketua kampung dsbnya kerana teraniaya. Ketika mengadu tidak boleh tidak kita terpaksa membuka kezaliman yang telah dilakukan terhadap kita. Dengan membuka keburukan orang berkenaan, barulah pengadilan dapat dilaksanakan.
Kedua: Mahu mencegah kemunkaran dan kemaksiatan yang berlaku. Keburukan pelaku maksiat itu boleh diceritakan kepada seseorang yang dapat diharapkan boleh menghindarkan kemungkaran itu. Seperti saudara melihat sebahagian anak-anak muda di kawasan saudara membawa perempuan ajnabi balik ke rumahnya (berkhalwat). Saudara hendaklah mencari seseorang yang boleh diharapkan dapat menghalang perkara berkenaan. Saudara dibenarkan menceritakan perihal anak-anak muda itu kepadanya.
Ketiga: Meminta fatwa dari alim-ulamak. Contohnya dalam masalah rumahtangga, jika si suami melakukan sesuatu yang tidak baik kepada isterinya (contoh: tidak beri nafkah), dia boleh mengadu hal kepada ulamak/mufti meminta fatwa. "Suami saya tidak memberi saya nafkah selama sekian lama. Apa hukumnya dia melakukan demikian. Apakah yang harus saya lakukan?"
Keempat: Memberi peringatan (agar berhati-hati) dan nasihat kepada kaum muslimin tentang kejahatan seseorang. Bahkan jika dapat memberi mudarat kepada seseorang, wajib kita jelaskan keburukkannya. Contoh, apabila seseorang datang kepada saudara meminta nasihat tentang perkahwinan anak perempuannya. Apakah wajar dikahwinkan dengan si fulan? Sedangkan saudara tahu bahawa si fulan itu adalah seorang yang buruk akhlaknya dan bejat agamanya. Jika memadai dengan kata 'JANGAN', hendaklah saudara mengatakan begitu sahaja. Jika dirasakan tidak cukup, wajiblah saudara membuka aibnya.
Kelima: Mencela orang yang secara terang-terangan melakukan kefasikkan, bid'ah dan kezaliman. Contoh, seorang yang secara terang-terangan meminum arak, atau berjudi, atau melaksanakan projek-projek batil. Yang dibenarkan hanyalah menyebutkan kemaksiatan yang dilakukan secara terang-terangan itu sahaja. Dan diharamkan menyebutkan aib-aib lain.
Keenam: Untuk mengenalkan seseorang. Jika seseorang itu memang dikenali dengan julukkan si tempang, si buta dan sebagainya, boleh saudara menyebutkan jolokkan itu dengan niat mengenalkan. Haram jika dengan niat mencemuh. Walaubagaimanapun selagi boleh mengelakkan menyebut julukkan itu, elakkan..
Dalil:
Firman Allah Taala:
"Allah tidak suka kepada perkataan yang tidak baik diperdengarkan, kecuali dari orang-orang yang teraniaya..." (al-Nisaa', ayat 148)
Hadis:
"Aisyah r.a. berkata: Seseorang datang minta izin kepada nabi s.a.w. (masuk ke rumah). Lalu nabi s.a.w. bersabda: Izinkanlah. Dia adalah sejahat-jahat orang di kalangan kaumnya." (riwayat Bukhari & Muslim)
Hadis:
"Aisyah r.a. berkata: Hindun binti Uthbah (isteri Abu Sufian) berkata kepada nabi s.a.w.: Sesungguhnya Abu Sufian seorang yang kedekut dan tidak memberi cukup belanja kepada ku dan anak-anakku, kecuali kalau saya ambil di luar pengetahuannya. Nabi s.a.w. menjawab: Ambillah secukupmu dan ank-anakmu dengan sederhana." (Riwayat Bukhari & Muslim)
Hadis:
"Fatimah binti Qais berkata: Saya datang kepada Nabi s.a.w. bertanya tentang dua orang yang meminang saya, iaitu Abu Jahm dan Muawiyah. Maka Nabi s.a.w. bersabda: Adapun Muawiyah, dia adalah seorang yang miskin, manakala Abu Jahm, dia adalah seorang yang suka memukul isteri." (Riwayat Bukhari & Muslim)
Hadis di atas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. ada menceritakan keburukkan orang lain untuk mencapai maksud yang dibenarkan oleh syarak. Dan tiada pilihan lain melainkan memberitahu aib orang berkenaan.
Wallahu'alam..
Rujukan:
Untuk mengetahui lebih lanjut dan terprinci lagi mengenai ghibah sila rujuk al-Ihya' Ulumuddin - al-Ghazali & al-Azkar - Imam al-Nawawi. Untuk mereka yang tidak dapat membaca kitab asalnya yang berbahasa Arab, bolehlah dapatkan terjemahan kedua-duanya.