Sebuah rumahtangga bahagia ialah rumahtangga yang
dikendalikan mengikut nilai-nilai yang dikehendaki
oleh Allah swt. Tidak boleh dikatakan rumahtangga
sekiranya sesebuah rumahtangga itu tidak dapat diatur
dan disusun mengikut apa yang dikehendaki Allah
walaupun keadaan rumahtangga itu nampaknya tenang dan
aman.
Dalam hal ini, kebijaksanaan suami dalam mengendalikan
rumahtangga menjadi faktor penting untuk mencapai
tujuan itu. Perkara yang utama yang patut dilakukan
oleh suami ialah berakhlak dengan isterinya.
Maksud berakhlak di sini ialah si suami mestilah
seorang penyabar dalam mendidik isterinya. Dalam
ertikata yang lain si suami mestilah sanggup
menghadapi derita dan sengsara disebabkan kerenah
isterinya. Ini adalah kerana kaum perempuan itu
dijadikan oleh Allah sebagai makhluk yang lemah.
Terutamanya, akal fikiran mereka adalah pendek dan
sebab itulah mereka bertindak gopoh dan mudah
melenting.
Oleh yang demikian ketika isteri marah, suami kenalah
menaruh perasaan belas kasihan dengan mendiamkan diri
dan bersabar. Biarkan dia bercakap apa sahaja kerana
apabila kehabisan modal untuk bercakap dia akan diam.
Jangan dilawan cakapnya kerana akan lebih banyaklah
modal percakapannya. Jangan pula lari meninggalkannya
kerana kalau lari, apabila suami balik semula, si
isteri akan sambung balik percakapannya. Tunggu dan
diam sampai si isteri berhenti bercakap. Lepas itu
kalau si suami hendak bercakap pun sudah boleh.
Sebenarnya itulah rahsia yang ada pada seorang isteri,
apabila telah habis melepaskan apa yang hendak
dicakapnya, dia akan tenang kembali kerana seperti
yang dikatakan, fikirannya adalah di atas lidah
sahaja. Sebab itulah, kalau si suami tidak melawan
cakap-cakap isteri, rumahtangga akan lebih selamat.
Pokoknya si suami hendaklah sabar banyak-banyak dan
sanggup menanggung kesakitan itu.
Tentang kaum perempuan ini kurang akal atau
fikirannya, Rasulullah saw ada bersabda yang
bermaksud:
“Kurang akal fikiran perempuan ini Tuhan jadikan
begitu.”
Sebab itulah, Allah swt menghendaki dua saksi orang
perempuan untuk menyamai satu saksi kaum lelaki. Atas
dasar inilah, para suami diseru oleh Allah swt di
dalam Al Quran dengan firman yang bermaksud:
“Hendaklah suami-suami bergaul dengan isteri-isteri
itu dengan sebaik-baiknya.”
Rasulullah saw ada menyatakan bahawa barangsiapa yang
sanggup menahan penderitaan atau sabar di atas
kejahatan serta perangai isteri mereka Allah swt akan
memberi mereka pahala sebagaimana pahala bagi Nabi
Ayub.
Menurut sejarah Rasulullah saw adalah orang yang
paling baik akhlaknya terhadap isteri-isterinya.
Beliau dapat menahan segala kemarahan terhadap
isterinya yang kadang-kadang membuat ragam juga. Sebab
itulah sabda Rasulullah saw yang maksudnya:
“Sebaik-baik kamu ialah orang yang paling baik dengan
isterinya. Aku adalah orang yang paling baik dengan
isteriku.”
Dalam satu peristiwa, Siti Aisyah telah memarahi
Rasulullah. Kata Siti Aisyah kepada beliau, “Engkaukah
orang yang mengaku Nabi?” Nabi hanya senyum sahaja.
Kemudian Rasulullah berkata, “Aku tahu, kalau engkau
marah kepada aku, kau cakaplah begini, “Demi Allah
Tuhan Ibrahim.” Kalau engkau gembira dengan aku, kau
katalah “Demi Tuhan Muhammad.” Jawab Aisyah, “Betul
kata engkau itu. Masa aku marah, aku tidak sebut nama
engkau.”
Di masa lain pula Siti Aisyah telah menolak Rasulullah
saw dari belakang hingga beliau hampir jatuh. Emak
Siti Aisyah ternampak perangai Aisyah lalu ditamparnya
muka Aisyah. Kemudian berkata Rasulullah saw,
“Biarkanlah dia begitu. Sebenarnya dia telah banyak
berbuat kepada aku, lebih dari itu lagi.”
Sewajarlah para suami mengambil iktibar daripada
banyak ragamnya isteri-isteri Rasulullah saw.
Sebenarnya bukan Siti Aisyah sahaja yang membuat
karenah malah isteri-isteri Rasulullah yang lain juga.
Tetapi Rasulullah boleh hadapi semuanya dengan senyum
sahaja.
Kalau isteri Rasulullah bertaraf Ummahatul Mukminin
itu pun ada juga ragamnya dan wanita-wanita solehah di
zaman Rasulullah yang mendapat didikan langsung dari
Rasulullah itu pun banyak ragamnya, apa lagilah
wanita-wanita dan isteri-isteri di zaman yang telah
jauh dari zaman Rasulullah ini.
Sebenarnya Allah swt jadikan isteri-isteri Rasulullah
demikian ragamnya supaya dapat menjadi contoh kepada
umat Nabi Muhammad yang kemudian ini tentang akhlak
Rasulullah saw bila berhadapan dengan
isteri-isterinya.
Kalaulah Allah jadikan isteri Rasulullah itu baik
semuanya, jadi tidak ada contohlah para suami tentang
bagaimana sikap yang patut dilakukan ketika isteri
meragam untuk mengekalkan kebahagiaan rumahtangga.
Sebab itulah, bila Allah jadikan Siti Aisyah dan
isteri-isteri Raulullah begitu untuk menjadi contoh
dan dapatlah diambil teladan darinya. Yang demikian,
bolehlah si suami memujuk hati dengan mengatakan,
“Sedangkan Rasulullah tidak marah-marah, sepatutnya
aku pun bagitu juga.”
Lagipun, banyak ragam ini tidak mencacatkan kesolehan
wanita. Sebab itu, para suami jangan lekas naik radang
dan menuduh isteri nusyuz, engkar dan sebagainya.
Banyak ragam tidak menjadikan isteri nusyuz. Cuma
ketika itu isteri sedang naik angin, biarkan sahaja
sehingga angin itu sejuk. Nanti akan baiklah dia.
Sebab itulah para suami dikehendaki banyak bersabar
dalam mendidik isterinya.
Si suami bukan sahaja mesti bersabar dengan kelakuan
isterinya malah disuruh juga oleh Allah supaya
bergurau-gurau dan bermain-main dengan isterinya. nabi
juga menyuruh para suami bermesra dengan bergelak
ketawa bersenda-senda dengan isteri. Janganlah
suami-suami sentiasa bersikap terlalu serius dengan
para isteri untuk mempertahankan kehebatan. Kalau
sesama lelaki bolehlah menjaga kehebatan masing-masing
dan tidak digalakkan selalu sangat bergurau sesama
lelaki. Tetapi dengan isteri sepatutnya si suami
mestilah banyak bergurau.
Malah Rasulullah saw sendiri amat suka bersenda gurau
dengan isterinya, hinggakan semasa Rasulullah bergurau
dengan isterinya, dia sanggup menurunkan darjatnya
seperti seorang perempuan. Ertinya, Rasulullah turut
bergurau macam seorang perempuan bergurau iaitu sindir
menyindir, cubit mencubit dan sebagainya.
Pernah dalam satu gurauannya dengan Siti Aisyah
mengajak isterinya itu berlari-lari. Sedangkan ketika
itu Siti Aisyah muda belia berumur 16 tahun. Sedangkan
Rasulullah sudah berumur 60 tahun, tapi Rasulullah
tetap lakukan juga kerana hendak menghibur-hiburkan
hati isterinya. Walaupun begitu, apabila beliau
berlumba lari dengan Siti Aisyah, Rasulullah tetap
menang sebab Rasulullah tetap menang sebab Raulullah
juga adalah ahli sukan yang pantas disebabkan beliau
sentiasa riadah dengan menunggang kuda, bermain pedang
dan lain-lain senjata.
Justeru itu para suami eloklah memperbanyakkan gurau
senda dengan isteri masing-masing dan eloklah sekali
sekala mengajak isteri berlumba-lumba dan sebagainya.
Begitu juga dalam soal masak-memasak dan mengemas
rumah, suami hendaklah membuat kerja tersebut
sebagaimana telah dilakukan oleh Rasulullah saw.
Sesungguhnya sunnah nabi itu adalah ikutan yang paling
baik.
Suami yang baik ialah suami yang memberi contoh
tauladan dalam mendidik isteri. Jadikan masa yang
terluang atau masa rehat itu dipenuhi dengan
aktiviti-aktiviti yang memberi faedah, bukan dengan
aktiviti-aktiviti seperti berbual-bual kosong di
kedai-kedai kopi, di tempat-tempat maksiat dan
sebagainya. Begitu juga dengan aktiviti memancing atau
bersukan dan lain-lain yang kadang-kadang sampai
tertinggal ibadah sembahyang.
Di sini saya ingin menyentuh sedikit tentang ibadah
sembahyang di surau-suaru atau di masjid-masjid. Hari
ini, baik di surau-surau atau di masjid-masjid sudah
kurang dikunjungi oleh umat Islam untuk bersembahyang
jemaah atau mendengar kuliah agama. Apa yang
menyedihkan, ada di antara orang-orang yang
rumah-rumahnya berhampiran dengan masjid atau
surau-surau pun tidak terlangkah oleh kaki untuk
mengerjakan ibadah sembahyang berjemaah atau mendengar
kuliah agama.
Ada di setengah-setengah tempat sampai imam sembahyang
yang dilantik pun jarang sembahyang berjemaah, ini
tidak termasuk lagi ahli jawatan kuasa masjid atau
surau yang tidak ada rasa tanggungjawab untuk memberi
contoh kepada makmum-makmun yang lain.
"sentiasa berusaha untuk mendekatkan diri pada Allah SWT."
tgk sekali rindu selamanya....parah....
tintabiru.....tintamerah.....tintahijau