Seperti biasa ...copy n paste
Assalamualaikum,
Setiap pagi dan petang, ketika pergi dan pulang dari kerja, mak aji akan melintasi satu kawasan perkuburan. Di sebelah sini, jalan raya yang lelah dilanda kesesakan bermacam-macam jenis kenderaan, sementara di sebelah sana, kawasan perkuburan yang sepi dengan barisan nisan kaku dipayungi pohon-pohon rendang. Setiap pagi Jumaat biasanya adalah juga beberapa perkuburan dikunjungi oleh kaum keluarga yang kelihatan khusyuk membaca surah Yasi...
Seperti biasa ...copy n paste
Assalamualaikum,
Setiap pagi dan petang, ketika pergi dan pulang dari kerja, mak aji akan melintasi satu kawasan perkuburan. Di sebelah sini, jalan raya yang lelah dilanda kesesakan bermacam-macam jenis kenderaan, sementara di sebelah sana, kawasan perkuburan yang sepi dengan barisan nisan kaku dipayungi pohon-pohon rendang. Setiap pagi Jumaat biasanya adalah juga beberapa perkuburan dikunjungi oleh kaum keluarga yang kelihatan khusyuk membaca surah Yasin dan doa. Kelihatan juga dua tiga orang yang mengambil kesempatan menjual bunga rampai di sana.
Kalau terperangkap dalam kesesakan, sementara menanti kereta dapat bergerak dalam barisan yang pergerakannya lembap macam kura-kura, mak aji selalu memerhatikan kawasan perkuburan itu.
“Salam sejahtera ke atas kamu wahai ahli penghuni kampung dari kalangan mukminin dan mukminat, dan kami Insya Allah akan menurut kamu”.
Pusara yang hening sepi, dan jalan raya yang sesak. Dua senario berbeza. Hari ini, mak aji dan pemandu-pemandu kenderaan lain itu berada dalam kumpulan yang sedang bergerak ligat, menuju matlamat hidup masing-masing. Pergerakan ditentukan oleh hati, disokong oleh minda. Entah bila, dan ia boleh datang tanpa sebarang persediaan, kita tiba-tiba menjadi ahli kumpulan di sebelah sana – menjadi sebahagian penghuni pusara hening itu - dan diri menjadi selemah-lemahnya serta kuasa mengawal pergerakan diri bukan lagi berada dalam tangan kita. Siapakah yang dapat meneka bahawa antara kita yang ligat memandu pagi ini, segar bugar selepas tidur yang cukup, mandi yang menyegarkan dan sarapan yang cukup mengenyangkan, tiba-tiba petang ini terjaga dan mendapati diri dalam kubur yang gelap gelita? Siapa boleh menyangka, ciuman sayang di pipi isteri/suami dan di dahi anak-anak comel pagi tadi adalah ciuman terakhir dan kita mungkin tidak akan dapat lagi bertemu sampai bila-bila? Siapa dapat menduga bahawa segala perancangan yang dibuat semalam kini hanya tinggal perancangan yang tiada lagi maknanya buat kita?
Kawasan kubur dan jalan raya hanya dipisahkan oleh parit dan pagar. Tanpa parit dan pagar, dua kawasan adalah satu. Tetapi, walaupun di atas tapak yang sama, perjalanan masing-masing sudah jauh berbeza. Pemandu dan penumpang setiap kenderaan di jalan raya itu ibarat orang yang sedang berlari menuju ke garisan penamat. Dalam pelarian itu, bermacam-macam perkara ditempuh, dicapai dan dilanggar. Apa-apa yang dikumpulkan dalam masa berlari itu menjadi bekalan untuk menentukan arah mana akan dituju pula selepas tiba ke garisan penamat nanti. Tiada siapa yang terkecuali, cepat atau lambat, setiap orang pasti tiba ke garisan penamat itu dan akan diperiksa bekalan yang dibawanya. Semakin laju putaran masa, semakin dekat detiknya pelari-pelari tiba ke garisan penamat. Siapa yang sampai dahulu, tidaklah dapat ditentukan. Kekadang, orang tua tiba dahulu. Kekadang, anak muda yang baru nak belajar hidup sampai dahulu. Dan selalu juga terjadi, bayi yang masih merah di pangkuan ibu, mendahului ibu bapanya.
Penghuni pusara yang sepi itu sudah pun tiba ke garisan penamat. Mereka kini semakin lama semakin jauh daripada garisan penamat itu, sedang memulakan satu perjalanan yang amat jauh bezanya daripada pelarian ke garisan penamat dahulu. Dulu, mereka juga macam kita, macam pemandu dan penumpang kenderaan yang lelah berlari sambil mengumpul bekalan. Apakah bekalan itu cukup-cukup untuk hidup mewah di balapan larian dan terpaksa ditinggalkan di belakang sebaik-baik tiba di garisan penamat? (mereka yang untung di dunia tetapi rugi di akhirat). Atau, adakah bekalan itu tidak boleh digunakan sepanjang pelarian tetapi terkumpul dan dibenarkan dibawa bersama selepas menamatkan pelarian? (mereka yang hidup penuh ujian dan penderitaan di dunia tetapi berbahagia di akhirat). Atau, adakah yang mendapat sebesar-besar rahmat kerana mempunyai bekalan yang cukup untuk dibawa berlari ke garisan penamat dan boleh pula dibawa menemani dalam perjalanan yang panjang selepas itu? (mereka yang beruntung di dunia dan beruntung di akhirat). Hanyalah Allah SWT menentukannya.
Kadang-kadang, mak aji terpaksa pulang lewat. Keluar daripada tempat kerja, hari sudah gelap. Untuk memudahkan perjalanan kenderaan yang tetap bertali arus tak kira masa, lampu-lampu disediakan untuk menerangi jalan, memudahkan perjalanan. Tak cukup terang, lampu kenderaan pula dipasang untuk menjadi penyuluh arah. Taklah teraba-raba dan tersesat mencari jalan pulang ke rumah atau ke mana-manalah arah destinasi masing-masing.
Bagaimana agaknya dengan penghuni pusara sepi yang dilintasi itu? Apakah yang membantu menyuluh perjalanan mereka yang panjang menuju ke suatu kehidupan yang kekal? Cukupkah “lampu” yang dibawa mereka dalam meniti hidup di alam kubur yang boleh menjadi “satu taman daripada taman-taman syurga” atau “satu lubang daripada lubang-lubang neraka” itu? Berapa ramaikah agaknya yang sedang menikmati bahagia disuluh pancaran cahaya terang benderang daripada bekalan yang dibawa dahulu? Siapakah pula yang sedang teraba-raba dihimpit gelap pekat kerana terleka dan terlupa membawa bekalan ketika berlari menuju ke garisan penamat dahulu?
Lupakan mereka dahulu, lihat kepada diri kita yang masih lagi berlari. Pelarian kita masih berbaki waktunya. Masih ada peluang untuk mencari dan mencapai lampu-lampu itu buat bekalan setelah tiba di garisan penamat nanti. Masih belum terlambat bagi kita mencari lampu-lampu itu sebanyak mungkin. Peluang mencari lampu-lampu itu terbuka luas, hanya menunggu tangan kita sahaja meraih dan mencapainya.
Di danau rj baru-baru ini, peluang itu terbuka untuk kita. Ada bingkisan yang dilayangkan ke sini untuk mengkhabarkan kepada kita semua tentang satu peluang untuk memiliki lampu itu. Seorang hamba Allah yang dalam kesempitan dan kesusahan benar-benar sedang memerlukan bantuan. Maka, inilah peluang untuk kita beramai-ramai menghulurkan bantuan yang diminta dengan seikhlas-ikhlasnya. Hari ini hari dia, belum tentu bila masanya tiba hari kita pula. Dan inilah satu antara peluang yang dibukakan Allah SWT untuk kita mendapat lampu itu.
Usah dipertikaikan besar atau kecil sumbangan kita. Yang penting, keikhlasan. Mungkin yang kecil itulah yang ditukarkan Allah sebagai lampu buat kita nanti. Usah dipersoalkan muslihat tersembunyi di sebalik permintaan, kerana yang dipandang Allah bukan kejujuran orang yang meminta tetapi keikhlasan orang yang memberi. Markah sedekah tidak akan kurang sekiranya sedekah tak sampai ke matlamatnya.
Sebelum menyimpan kalam, izinkan mak aji mengucap tahniah kepada “pelari-pelari” yang prihatin terutama Asrul dan Mrs G serta yang lain-lain (maafkan mak aji kerana tak ingat nak sebut satu persatu). Sesungguhnya, mak aji cemburu melihat betapa ligatnya sahabat-sahabat ini mengutip bekal dan mencari lampu untuk bekalan dalam perjalanan yang panjang nanti.
Juga, mak aji ingin mengucapkan tahniah kepada tok janggut yang bakal menambah ahli keluarga. Kepada Kak Long J, walaupun mak aji sendiri baru sangat berenang di sini, rasanya tak salah kalau mak aji hamparkan permaidani merah untuk menyambut kehadiran kak long di sini. Cuma, mak aji nak pesan, hati-hati berenang tu supaya tidak terkena kaca. Tangan mak aji sendiri luka terkena kaca yang dilemparkan ke dalam peti surat mak aji dua tiga hari lalu. Entah burung-burung manalah yang nakal sangat tu! Mak aji bersangka baik ajalah. Mungkin juga burung-burung tu nak lempar permata tetapi terlempar kaca. Tapi, tak apalah, mak aji dah cuci, dah taruh ubat dan dah balut luka mak aji tu. Semoga Allah berikan hidayah kepada burung-burung itu supaya dapat mengenal yang mana kaca, yang mana permata.
MakAji Amatullah
P/s: Ceq pun tak kenal nama2 yg tersenarai kat atas tu......tp rasa dekat dgn mereka......kerana biasa mendengar luahan dan nasihat mereka....
tintabiru.....tintamerah.....tintahijau
go go gess go go