Renungan: Sifat takbur, angkuh boleh merosakkan persaudaraan
PENGERTIAN sombong, ego, bongkak dan angkuh sebenarnya amat luas, namun tidak dinafikan ia adalah antara penyakit jiwa yang paling sukar diubati berikutan iman yang rapuh serta didorong rasa yakin bahawa diri sendiri paling sempurna dan melebihi orang lain.
Penyakit suka berlagak dan bangga diri ini bukan saja berlaku di tempat kerja, malah membabitkan insan yang sering mendekatkan diri kepada Allah – bangga dengan amala...
Renungan: Sifat takbur, angkuh boleh merosakkan persaudaraan
PENGERTIAN sombong, ego, bongkak dan angkuh sebenarnya amat luas, namun tidak dinafikan ia adalah antara penyakit jiwa yang paling sukar diubati berikutan iman yang rapuh serta didorong rasa yakin bahawa diri sendiri paling sempurna dan melebihi orang lain.
Penyakit suka berlagak dan bangga diri ini bukan saja berlaku di tempat kerja, malah membabitkan insan yang sering mendekatkan diri kepada Allah – bangga dengan amalan yang dilakukan dan menganggap insan lain tidak mengikut jejak mereka sebagai fasik dan mungkar.
Sombong kerana ketinggian pangkat, kedudukan, kelulusan akademik dan keturunan juga sebahagian daripada masalah jiwa yang sukar diubati. Justeru, wujudlah perbalahan membabitkan petugas bawahan dengan atasan atau antara pekerja dan majikan.
Firman Allah swt dalam surah Al-Isra ayat 37 dan 38 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan lagak angkuh dan sombong kerana sesungguhnya kamu sekali-kali tidak dapat menembusi bumi dan kamu tidak akan menyamai gunung-ganang, menyalahi setiap perintah Allah adalah kejahatan yang dibenci Tuhanmu."
Sebagaimana yang dijelaskan, apa lebih dan untungnya bermegah sesama manusia, pada hal manusia sama saja kedudukannya tetapi apabila bertemu dengan kematian barulah kita rasakan perbezaan paling besar.
Surah Lukman ayat 18 bermaksud: "Dan janganlah kamu memalingkan muka kamu daripada manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan bongkak."
Sesungguhnya amat rugilah mereka yang bersifat takbur. Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud: "Tidak dapat masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya kesombongan walaupun sebesar zarah, lalu berkata seorang sahabat: "Jika seseorang itu menyukai pakaiannya cantik dan kasutnya elok?"
Rasulullah bersabda: "Bahawasanya Allah itu maha indah, menyukai keindahan. Takbur itu menentang kebenaran dan menyusahkan manusia." Sikap takbur dianggap antara ribuan penyakit zahir dan batin manusia kerana memperkatakannya sudah cukup untuk membayangkan pengertian buruk yang wujud daripada sikap itu.
Ia membayangkan sikap sebilangan besar umat manusia yang angkuh pada prinsip ego yang sebenarnya tidak disukai Allah.
Takbur adalah sifat paling buruk dan ia telah diperkatakan dalam beberapa surah al-Quran iaitu sikap suka membesarkan diri selain bermegah-megah dengan kelebihan yang ada padanya.
Harta kekayaan, pangkat, pengaruh, ilmu pengetahuan dan sebagainya adalah beberapa elemen penting menyebabkan seseorang itu bersikap angkuh walaupun mereka sebenarnya tahu ia sikap yang dibenci Allah.
Manusia yang suka bermegah diri ini akan bersikap angkuh terhadap manusia bawahan yang kurang bernasib baik. Di sini wujud pertembungan dua sikap berlawanan iaitu orang yang angkuh pastinya berwatak sombong tapi pada kebiasaannya orang kurang bernasib baik dalam apa juga urusan hidupnya tidak bersikap begitu sebaliknya lebih murah dengan senyuman.
Pergaulan individu takbur ini biasanya terbatas sesama mereka, sedangkan di dalam Islam rasa persaudaraan dan kasih sayang di antara satu sama lain mesti tersemat rapat di dalam jiwa seseorang yang mengaku dirinya Muslim.
Allah berfirman di dalam surah Al-Nahlu ayat 22 dan 23 yang bermaksud: “Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa, maka orang yang tidak beriman dengan hari akhirat, hati mereka mengingkari (keesaan Allah) sedangkan mereka adalah orang yang angkuh".
"Allah mengetahui mereka yang merahsiakan dan yang dilahirkan. Sesungguhnya Allah amat benci orang yang sombong".
Sifat takbur, angkuh dan sombong akan merosakkan persaudaraan, tiada rasa hormat-menghormati dan terputus tali persaudaraan dalam kehidupan seharian.
Dengan terputusnya tali persaudaraan, sudah tentu akan tumbuh bibit-bibit perpecahan di kalangan masyarakat Islam. Perkara sedemikian akan merosakkan roh keislaman kerana masing-masing ingin menunjukkan lagak dan tidak mengaku kalah yang akhirnya membawa kehancuran umat Islam.
copy and paste [606]
"Boleh jd kamu membenci sesuatu pdhal ia amat baik bgmu dan boleh
jadi pula kamu menyukai sesuatu pdhal ia amat buruk bg kamu.
sabar menempuh jalan ,tetapkan Iman di hati...