Umat Islam telah ditaklifkan untuk melakukan ibadah-ibadah wajib seperti sembahyang fardu, puasa di bulan Ramadhan, zakat dan sebagainya. Ia merupakan suatu ketetapan daripada Allah s.w.t. kepada setiap hamba-Nya. Justeru itu tidak akan terkecuali seorang pun daripada kalangan penganut agama Islam yang mukalaf untuk menunaikan tanggungjawab tersebut.
Kegagalan untuk menunaikan ibadah wajib tersebut atau yang meninggalkan tanggungjawab dengan sengaja akan menjadikan seseorang Muslim itu be...
Umat Islam telah ditaklifkan untuk melakukan ibadah-ibadah wajib seperti sembahyang fardu, puasa di bulan Ramadhan, zakat dan sebagainya. Ia merupakan suatu ketetapan daripada Allah s.w.t. kepada setiap hamba-Nya. Justeru itu tidak akan terkecuali seorang pun daripada kalangan penganut agama Islam yang mukalaf untuk menunaikan tanggungjawab tersebut.
Kegagalan untuk menunaikan ibadah wajib tersebut atau yang meninggalkan tanggungjawab dengan sengaja akan menjadikan seseorang Muslim itu berdosa. Sebaliknya jika mereka melakukan tuntutan tersebut, mereka akan mendapat ganjaran pahala dan balasan syurga di akhirat kelak.
Manakala ibadah-ibadah sunat seperti sembahyang sunat, puasa sunat dan sebagainya merupakan ibadah yang tidak diwajibkan. Tetapi ia amat digalakkan kepada sekalian umat Islam untuk melakukannya dan tidak berdosa jika meninggalkannya. Ia boleh diibaratkan sebagai suatu kelebihan atau extra bagi umat Islam yang beristiqamah dalam melakukan ibadah sunat.
Dengan melakukan ibadah sunat, ia dapat meninggikan darjat dan martabat seseorang Muslim di sisi Allah s.w.t. Sesungguhnya Islam amat menekankan kepada umatnya agar bersungguh-sungguh dalam melakukan amalan murni seperti ibadah sunat umpamanya. Dalil daripada al-Quran yang bermaksud: `` Berlumbalah kamu dalam melakukan kebaikan.'' (Al-Maidah: 48)
Merujuk kepada puasa sunat, ia merupakan suatu ibadah yang sangat mulia di dalam Islam. Ia tidak berbeza dengan puasa wajib pada bulan Ramadan, cuma berbeza dari segi niat dan tempoh masa.
Puasa wajib hanya sah dilakukan pada bulan Ramadan, sebaliknya puasa sunat boleh dilakukan pada bila-bila masa kecuali hari-hari yang diharamkan berpuasa seperti hari raya puasa, hari raya korban dan sebagainya.
Bagi umat Islam yang melakukan ibadah puasa sunat, Allah s.w.t. akan melipatgandakan ganjaran pahala kepada mereka. Ini bersesuaian dengan segala dugaan, kesabaran dan cabaran yang diharungi orang-orang yang melakukan puasa sunat.
Ini kerana puasa sunat dilakukan di dalam situasi umat Islam lain tidak berpuasa. Justeru itu cabarannya adalah lebih kuat berbanding dengan puasa pada bulan Ramadan dalam situasi masyarakat Islam lain turut berpuasa. Maka dengan itulah ganjaran pahala orang yang berpuasa sunat adalah lebih besar dan dilipatgandakan pahalanya oleh Allah s.w.t.
Di dalam Islam terdapat tiga bulan yang sangat dituntut kepada umat Islam untuk melipatgandakan ibadah-ibadah sunat, terutamanya ibadat puasa. Tiga bulan tersebut ialah bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan. Terdapat banyak hadis-hadis yang diriwayatkan oleh perawi hadis menjelaskan keistimewaan bulan-bulan tersebut. Bulan Rejab sebagai bulan Allah s.w.t., bulan Syaaban sebagai bulan Nabi s.a.w. dan bulan Ramadan sebagai bulan umat Nabi s.a.w.
Ketiga-tiga bulan mulia ini mempunyai sejarah dan peristiwa yang sangat besar bagi agama Islam dan umat Islam. Bulan Rejab dengan peristiwa Israk Mikrajnya, bulan Syaaban dengan Nisfu Syaaban, manakala Lailatul Qadar merupakan satu malam yang sangat istimewa di dalam bulan Ramadan.
Justeru itu, memandangkan ibadah puasa di dalam ketiga-tiga bulan ini amat besar ganjarannya, maka umat Islam perlulah merebut peluang untuk melakukan ibadah tersebut. Puasa sunat di dalam bulan Rejab dan Syaaban banyak ganjarannya. Manakala puasa pada bulan Ramadan adalah suatu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan.
Sehubungan itu, ibadah puasa sunat di bulan Rejab dan Syaaban sepatutnya dijadikan sebagai latihan sementara menanti kedatangan ibadah puasa wajib di bulan Ramadan yang bakal tiba.
Puasa sunat boleh dilakukan sekadar kemampuan individu. Bahkan bagi kaum wanita contohnya boleh menjadikan bulan Rejab dan Syaaban sebagai bulan untuk menggantikan puasa tahun sebelumnya. Namun demikian, bulan Rejab telah pun berlalu pergi. Persoalannya berapa ramaikah umat Islam yang mengambil peluang untuk menunaikan ibadah puasa sunat di bulan Rejab? Mungkin ada di kalangan umat Islam yang dapat berpuasa sehari di bulan Rejab, tetapi ia adalah lebih baik daripada mereka yang tidak berpuasa langsung. Ini kerana puasa sunat adalah berdasarkan kemampuan diri seseorang dan yang pastinya ia bukanlah ibadat yang wajib.
Namun demikian bagi yang tidak berkesempatan, bulan Rejab sememangnya sudah berlalu pergi sehingga tahun hadapan. Kini, bulan Syaaban dengan ganjaran pahala yang besar dan Nisfu Syaabannya sedang menghitung hari demi hari hingga ke bulan Ramadan. Oleh itu bagi umat Islam yang tidak sempat berpuasa sunat di bulan Rejab bolehlah berazam dan mengambil kesempatan ini untuk menunaikan ibadah puasa di bulan Syaaban yang mulia ini.
Sesungguhnya amalan puasa sunat ini bukan sahaja dijanjikan ganjaran pahala daripada Allah s.w.t. Sebaliknya terdapat hikmah-hikmah lain yang sangat penting bagi kehidupan manusia. Di Antara kelebihan-kelebihan yang dinikmati orang yang berpuasa ialah:
- Mendidik nafsu
Ibadah puasa merupakan suatu alternatif Islam yang dilihat mampu membendung hawa nafsu manusia. Sama ada nafsu seks atau sebagainya akan menjadi lemah sekiranya seseorang itu berpuasa. Oleh itu bagi seseorang yang tinggi keinginan nafsu seksnya dan tidak berkemampuan untuk berkahwin, maka ibadah puasa merupakan kaedah yang praktikal untuk di amalkan.
- Mendisiplin diri
Melalui ibadah puasa juga seseorang itu dapat mendisiplin diri terutamanya masa makan. Selain itu ia dapat membentuk manusia menjadi insan sabar dan berdisiplin kerana syarat-syarat berpuasa perlu diikuti agar tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
- Memudahkan pembelajaran
Bagi pelajar terutamanya, amalan berpuasa sunat merupakan kaedah terbaik dalam merangsang dan menajamkan minda. Ibadah puasa memudahkan pelajar mengingati dan menghafal di dalam pembelajaran. Ia berbeza dengan keadaan belajar dalam keadaan perut yang kekenyangan dan menyebabkan pelajar mudah letih dan mengantuk.
- Meningkatkan kesihatan
Puasa dapat merehatkan otot perut daripada bekerja menghadam makanan seharian. Bagi kaum wanita pula amalan berpuasa dapat mengurangkan berat badan dan seterusnya mencapai cita-cita berat badan ideal yang diidamkan. Manakala pihak lelaki juga dapat mengurangkan berat badan dan seterusnya dapat mengurangkan ketagihan merokok.
Sebenarnya banyak lagi kelebihan atau fadilat bagi orang yang berpuasa. Namun demikian umat Islam tidak seharusnya berpuasa dengan niat selain daripada Allah s.w.t. Umat Islam perlu sedar kelebihan-kelebihan tersebut adalah fadilat sampingan semata-mata. Justeru, setiap ibadah sama ada ibadah puasa atau sebagainya hendaklah dengan niat untuk mendapat keredhaan daripada Allah s.w.t.
Sehubungan itu umat Islam sepatutnya merebut peluang untuk melakukan ibadah puasa sunat di dalam bulan Syaaban ini kerana ia telah dijanjikan ganjaran pahala yang besar daripada Allah s.w.t.
Ya Allah,adakah aku ini hamba-MU yang layak untuk merindui syurgaMu.Tak t'daya rasanya menuju ke situ lantaran godaan syaitan & hawa nafsu.
insya'Allah,malam ni ana bagi barang tu erk..
Ya Allah,adakah aku ini hamba-MU yang layak untuk merindui syurgaMu.Tak t'daya rasanya menuju ke situ lantaran godaan syaitan & hawa nafsu.