Bencana: Jangan hanya terpengaruh ‘teori sains’
- Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap umat Islam tidak mudah terpengaruh dengan teori sains semata-mata terhadap sesuatu bencana yang berlaku tanpa kembali kepada ajaran agama.
Menteri Besar berkata, kajian yang dilakukan manusia sekarang hanya menjurus kepada sifat zahir sahaja tanpa mengambil kira soal agama.
“Sekiranya manusia hanya semata-mata terikat dengan kajian sains punca ber...
Bencana: Jangan hanya terpengaruh ‘teori sains’
- Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap umat Islam tidak mudah terpengaruh dengan teori sains semata-mata terhadap sesuatu bencana yang berlaku tanpa kembali kepada ajaran agama.
Menteri Besar berkata, kajian yang dilakukan manusia sekarang hanya menjurus kepada sifat zahir sahaja tanpa mengambil kira soal agama.
“Sekiranya manusia hanya semata-mata terikat dengan kajian sains punca berlakunya bencana alam seperti gempa bumi, banjir serta ombak besar, selama itulah manusia akan lupa kepada kebesaran Allah.
"Sedangkan setiap apa yang berlaku sama ada malapetaka, sakit atau seumpamanya adalah amaran atau peringatan dari-Nya terhadap kita manusia supaya tidak terus leka," ujarnya ketika menyampaikan tazkirahnya selepas mengimamkan solat sunat hajat anjuran Dewan Muslimat PAS Kelantan, di JKR 10, di sini semalam.
Ahad lalu, gempa bumi berlaku di perairan Sumatera sehingga menyebabkan berlaku ombak besar (tsunami) yang mengakibatkan ramai penduduk di rantau Asia terkorban.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, tidak menjadi kesalahan sekiranya ingin menerima kajian yang dibuat ahli sains, asalkan tidak membelakangkan kebesaran Allah.
Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, umat Islam juga harus sedar bala sebenarnya tidak dimaksudkan hanya kejadian bencana alam, sakit atau miskin sahaja.
Sebaliknya, kedudukan seseorang yang kaya harta benda dan sihat tubuh badan juga akan ditimpa bala sekiranya melupakan nikmat pemberian-Nya.
"Kalau kita kaya, kita tidak keluar zakat, itu juga bala, kalau kita sihat, kita lupa pada Allah, itu juga bala, kalau kita berjawatan tinggi, kemudian kita angkuh atau tidak melaksanakan tanggungjawab sebagaimana dikehendaki-Nya juga adalah bala dari Allah," ujarnya.
"Kesabaran adalah tunjang kekuatan dan kebahagiaan di dunia mahupun akhirat...."