Rumah anak Ustaz Niamat hangus terbakar
POKOK SENA, 12 Sep - Rumah Ustaz Nahar Sofi Niamat, anak kepada Pengasas Maahad Tarbiyah Islamiah (MTI) Derang, Ustaz Niamat Yusoff hangus dalam kebakaran petang tadi.
Nahar Sofi, 32, berkata, kejadian 3.30 petang itu berlaku dengan cepat sehingga mereka hanya dapat menyelamatkan apa yang sempat dicapai sahaja.
Dalam kejadian itu, mereka hanya tinggal sehelai sepinggang kerana rumah kediaman mereka telah hangus sama sekali termasuk kereta dan moto...
Rumah anak Ustaz Niamat hangus terbakar
POKOK SENA, 12 Sep - Rumah Ustaz Nahar Sofi Niamat, anak kepada Pengasas Maahad Tarbiyah Islamiah (MTI) Derang, Ustaz Niamat Yusoff hangus dalam kebakaran petang tadi.
Nahar Sofi, 32, berkata, kejadian 3.30 petang itu berlaku dengan cepat sehingga mereka hanya dapat menyelamatkan apa yang sempat dicapai sahaja.
Dalam kejadian itu, mereka hanya tinggal sehelai sepinggang kerana rumah kediaman mereka telah hangus sama sekali termasuk kereta dan motosikal.
Beliau dan keluarganya kini tinggal di rumah ibunya yang bersebelahan dengan rumahnya dan bersyukur kerana tidak membabitkan kemalangan jiwa ahli keluarganya.
Ketika berita ini ditulis, sebarang maklumat tepat belum dikenalpasti tentang punca dan taksiran ekoran kejadian itu.
Pihak bomba yang datang antaranya dari Bukit Pinang, Alor Star, Jitra, Pokok dan Kuala Nerang mengambil masa sekitar sejam untuk memastikan semuanya berada di dalam keadaan selamat.
Sebuah rumah yang berada di sebelah rumahnya yang hanya menjadi tempat singgahan sekali sekala itu turut terbakar tetapi dapat dipadam oleh pelajar-pelajar MTID.
Kejadian itu mengingatkan kita semua pada peristiwa kebakaran yang pernah menimpa keluarga Allahyarham Ustaz Niamat pada 19 Januari 1998 di tempat yang sama.
Kebakaran itu turut memusnahkan rumah menantunya, Allahyarham Ustaz Ali Rajab Nasihin serta lebih 4 ribu kitab milik kedua-dua ulama itu.
Sementara itu, Adun Langgar yang juga Naib YDP PAS Kawasan Pokok Sena, Haji Rohsidi Othman, Setiausaha PAS Kedah, Saudara Aris Awang serta Setiausaha PAS Kawasan Pokok Sena, Ahmad Zuhairi Zubit mengucapkan takziah kepada keluarga Nahar Sofi atas kejadian itu.
Bendahari MTID, Ustaz Khalid Musa mempelawa penderma seluruh negara agar dapat meringankan bebanan keluarga itu dengan menghulurkan sumbangan atas nama dan dialamatkan kepada: Pengerusi Lajnah Kebajikan, MTI Derang, 06400 Pokok Sena, Kedah. Tel: 04-7143643 (waktu Pejabat).
gambar ada dalam http://segerausaha.blogspot.com
"berhati-hati dengan air tenang... macam-macam bolih terjadi, tetapi dekatilah orang tenang...sebab ada emas untuk digali".